Buku Log

BUKU LOG PENGAKAP (BAHAGIAN 1)

Perhatian kepada semua pelajar, anda dikehendaki menyediakan dua jenis buku log. Pertama adalah BUKU LOG LENCANA TERTINGGI PENGAKAP REMAJA, dan buku log yang kedua adalah BUKU LOG PERIBADI PENGAKAP REMAJA. Apakah perbezaan di antara kedua-dua buku log ini?

BUKU LOG LENCANA TERTINGGI PENGAKAP REMAJA merupakan buku log yang mencatatkan semua nota-nota pengakap remaja bermula dengan:

v Lencana Keahlian

v Lencana Jayadiri

v Lencana Kemahiran

v Lencana Kegiatan

v Lencana Ekspedisi

v Lencana Perkhidmatan

BUKU LOG PERIBADI PENGAKAP REMAJA merupakan buku log khas yang dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu rekod secara bertulis, gambar foto dan sijil-sijil pengakap. Keterangan mengenai buku log ini akan diterangkan secara terperinci dalam Nota Lencana Jayadiri kemudian.

Oleh yang demikian, semua pelajar dikehendaki menyediakan buku log yang pertama dahulu iaitu BUKU LOG LENCANA TERTINGGI PENGAKAP REMAJA. Sila ikuti arahan di bawah:

1. Kamu dikehendaki membeli buku log yang baru. Buku log pengakap muda (Tingkatan 1 hingga 3) tidak dibenarkan untuk digunakan.

2. Belilah buku log yang bersaiz buku tulis, berkulit tebal dan mempunyai muka surat 100-200 helai. Jangan beli buku log bersaiz panjang.

3. Balut buku log kamu dengan sampul plastik lutsinar supaya kalis air dan tidak basah sekiranya terkena air.

4. Pada kulit depan, tuliskan seperti berikut:

(i) BUKU LOG LENCANA TERTINGGI PENGAKAP REMAJA

(ii) Nama Penuh : XXXXX bin XXXXX

(iii) Kad Pengenalan : XXXXXX – XX – XXXX

(iv) Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru

(v) Kumpulan 80

(vii) Nama Patrol : XXXXX XXXXX

5. Anda boleh menaip butir-butir di atas atau menulis dengan pen/marker untuk kulit hadapan di atas.

6. Di bahagian dalam buku log, catatkan semua butir-butir yang telah diberitahu oleh Cikgu Eady ketika perjumpaan pada hari Rabu 8 Julai 2009.

7. Setelah itu, pada helaian baru, lukiskan lencana keahlian dengan menggunakan pensel (dan jika boleh diwarnakan) dan tuliskan tajuk helaian itu sebagai LENCANA KEAHLIAN sama ada pada atas atau di bawah gambar lencana keahlian tersebut. Anda juga boleh menampal gambar lencana keahlian ini.

8. Muat turun nota-nota pada laman blog saya di :

http://cikgu-wyre.blogspot.com/2009/07/nota-lencana-keahlian-pengakap.html

9. Muat turun hendaklah disimpan dalam bentuk Microsoft WORD iaitu format .doc

10. Lukis dengan pensel atau pen hitam mana-mana lukisan yang ada. Anda dibenarkan untuk fotostat lukisan tersebut dan menampalnya di dalam buku log.

11. Salin nota-nota tersebut mengikut susunan topik, iaitu bermula dengan Topik 1 dan berakhir dengan Topik 7.

12. Untuk Topik 2 (Prinsip Rukun Negara), saya membenarkan anda untuk mengambil nota-nota penting sahaja dalam huraian Rukun Negara. Walaupun demikian, jika anda menyalin kesemuanya adalah lebih baik.

13. Untuk Topik 6 (Sejarah Pengakap Malaysia & Pengakap Dunia), saya membenarkan anda memilih dan menulis 10 nota dari 18 nota yang diberikan dalam sub-topik Sejarah Pengakap Malaysia serta memilih dan menulis 15 nota dari 34 nota yang diberikan dalam sub-topik Sejarah Pengakap Dunia. Walaupun demikian, jika anda menyalin kesemuanya adalah lebih baik.

14. Untuk Topik 3 (Lambang Pengakap Malaysia & Pengakap Dunia), anda dikehendaki mewarnakan lambang-lambang tersebut. Anda juga boleh mencetak lambang-lambang tersebut dan menampalkannya di dalam buku log.

15. Salin semua nota dalam Topik 1, 3, 4, 5 dan 7 tanpa meninggalkan satu perkataan pun. Lukis dengan pensel semua lukisan atau menampalkannya ke dalam buku log.

16. Anda DILARANG menampal nota cetakan atau fotostat ke dalam buku log. Anda hanya dibenarkan menampal gambar sahaja ke dalam buku log anda.

17. Serahkan kepada saya atau Encik Azimy atau Encik Eady atau Encik Rizaki atau Encik Saiful apabila anda sudah menyiapkan buku log bahagian pertama ini.

18. Buku log anda akan dinilai sebelum anda melaksanakan ujian lencana keahlian.

19. Sekiranya anda mempunyai masalah, sila berjumpa dengan saya di Bilik Guru.

ZUWAIRI ABD AZIZ
PEMIMPIN PENGAKAP REMAJA
SEKOLAH MENENGAH TEKNIK PERDAGANGAN JB


Sabtu, 4 April 2009

BUKU LOG PENGAKAP

Buku Log Pengakap membawa erti sebuah buku catatan, dairi dan seumpamanya dengannya. Dimana terkandung dalamnya bait-bait pengisah tentang hal ehwal berpengakap seorang itu bermula dari hari pertama perjumpaan serta liku-liku kehidupan berpengakap sehingga ke hari ini.

Itulah yang terbaik kerana dalamnya terkandung kisah suka duka kehidupan berpengakap sesaorang itu. Betapa taat dan setianya dengan kehidupan berpengakap, betapa telah sebatinya dengan prinsip dan kehidupan seharian; bak isi dengan kuku, bak lagu dengan irama.

Berdasarkan pengalaman lalu terdapat beberapa jenis buku log kalau boleh nak kita bahagikan, antaranya:-

1. Buku Log Peribadi - catatan peribadi, sentiasa ada bersama kita walau dimana kita berada, apa aktiviti yang kita lakukan semenjak dari kanak-kanak sehingga dewasa. Siapa antara yang terbaik yang boleh dijadikan contoh? Almarhum Tuan Haji Ibrahim bin Haji Ismail (Akela, Pemimpin Pengakap, Penolong Pesuruhjaya Negeri dan sebagainya) Beliau merupakan seorang penulis, pengkaji dan telah menghasilkan Buku Log yang terbaik. Tuan Haji Shahabudin bin Nordin, bekas Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah; seorang penulis yang terbaik. Tegas, berpendirian; senang didekati dan boleh dijadikan contoh. Seorang Pengakap yang baik, disegani, dihormati.

2. Buku Log mengenai ujian-ujian lencana - bermula dengan lencana keahlian, diikuti dengan lencana Usaha, Maju dan Jaya. Pun begitu perlu juga kita hasilkan buku log lencana kepandaian.